KUALA LUMPUR:
Isyarat untuk mengadakan pilihan raya November ini adalah amaran kepada
seluruh rakyat supaya bersedia menghadapi taktik kotor dan keganasan
"syaitan yang dikenali", kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
The
Star sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak memberi isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan November ini.
Malaysiakini pula melaporkan, Najib berminat dengan angka 11.
Bagi
Mohamad, tidak kira bila sekalipun pilihan raya diadakan, apabila
Perdana Menteri memberi isyarat beliau sudah bersedia, ia sekaligus
memberi isyarat kepada rakyat bahawa rancangan penipuan sudah sedia
untuk dilaksanakan.
Beliau kesal kerana tindakan sedemikian
menyebabkan taraf pilihan raya negara ini begitu mundur dan memalukan
kerana terpaksa menghadapi pilihan raya yang tidak adil dan tidak
bersih.
"Kita baca laporan tentang negara orang di mana
perbahasan utama rakyat menjelang pilihan raya ialah mengenai rancangan
dan tawaran penyelesaian pihak-pihak yang bertanding mengenai soal
ekonomi, percukaian, pendidikan, dasar berkaitan imigresen, dasar luar
dan dasar serantau umpamanya.
"Malangnya, isu utama yang
terpaksa kita hadapi di negara kita ialah pilihan raya yang tidak adil,
tidak bersih dan penuh dengan pelbagai penipuan akibat kerakusan
'syaitan yang dikenali' untuk terus berkuasa," katanya.
Frasa
"syaitan yang dikenali itu" dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan, "...kamilah
syaitan yang dikenali rakyat" manakala pembangkang pula disifatkannya
sebagai "malaikat yang rakyat tidak kenal".
Mohamad seterusnya
berkata, pilihan raya di negara ini bukan sahaja terbelenggu dengan soal
menghadapi penipuan dan taktik kotor Umno BN malah memaksa rakyat
bersedia menghadapi keganasan "syaitan yang dikenali" itu.
"Sepatutnya
pilihan raya dijadikan pesta demokrasi oleh rakyat di mana mereka
berpeluang menentukan masa hadapan negara mereka dengan ceria, bebas dan
tanpa rasa takut.
"Tetapi dengan peningkatan keganasan 'syaitan
yang dikenali' sehingga ke peringkat menyerang dan membaling kasut ke
dalam masjid, ia memberi isyarat yang jelas bahawa mereka mahu menjadi
pilihan raya sebagai medah untuk mereka melakukan keganasan.
"Rakyat
bukan sahaja terpaksa bersedia menghadapi penipuan dan taktik kotor,
malah terpaksa menghadapi keghairahan 'syaitan yang dikenali' untuk
mengganas," kata beliau yang pernah menghadapi percubaan untuk membakar
rumahnya beberapa bulan lalu.
Dalam perkembangan berkaitan,
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PR telah bersedia sejak
tahun 2011 lagi, dan kini persediaan mereka sudah mencapai 100 peratus.
"Ya,
Pakatan bersetuju tanda-tanda menunjukkan pilihan raya paling awal
bulan November, atau jika tidak akan diadakan tahun depan.
"Ia
tidak bermakna jika BN mengadakan pilihan raya pada November, mereka
akan menang besar kerana sejarah telah membuktikan sebaliknya," katanya.