Bagaimanapun, kerana tuntutan demokrasi, pilihan raya perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi sama ada peringkat parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, bagi kerajaan Barisan Nasional – pilihan raya kecil adalah penting kerana itulah peluang untuk menjawab segala tuduhan pembangkang dengan penjelasan ketika tempoh berkempen.

Pilihan raya juga ruang kerajaan menjelaskan kepada rakyat tentang pembohongan pembangkang terutama oleh pemimpin PKR , kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Majlis Mesra Rakyat Bersama Masyarakat Cina di Kompleks Sukan Sandakan, Jumaat malam.

Menurut Muhyiddin, sudah ramai pemimpin meninggalkan parti itu atau dipecat.

“Penduduk Sabah mana kenal PKR atau pemimpinnya termasuk Ansari Abdullah yang bertanding di Batu Sapi. Saya dengar sudah dua kali dia jatuh ke laut, ini 'bad feng shui' kepada PKR,” ujarnya.

Katanya, rakyat Sabah pastinya tidak mahu memilih PKR yang ada angan-angan kosong dan tidak boleh bentuk kerajaan di negeri itu.

“Kenapa nak beri satu undi kepada yang tak mampu bentuk kerajaan. SAPP pula masih dengan cerita lama fasal Sabah for Sabahan yang tidak memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini,” katanya.

Muhyiddin berharap pengundi-pengundi di Batu Sapi tidak terpengaruh dengan macam-macam cerita orang luar yang datang ke sini berkempen.

Calon BN, Datin Linda Tse Thau Lin adalah pilihan terbaik untuk mewakili penduduk di Batu Sapi menyuarakan masalah kepada pimpinan negeri dan pusat.

Lagipun katanya, wanita itu mahu meneruskan pembangunan yang dirancang oleh mendiang suaminya bekas ahli parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong.-29/10/2010

Balik mengundi sekalipun merangkak