Dalam Islam perbuatan mencaci maki, mencerca dan menghina orang Islam yang lain adalah perbuatan keji yang pada sisi Allah dikira fasiq. Walaupun Islam melarang perbuatan itu namun perbuatan itu amat sukar dihapuskan. Persoalaannya mengapa susah sangat umat Islam meninggalkan tabiat buruk itu?Bagi menjawab persoalan ini elok kita halusi sabda Rasulullah s.a.w.
سباب المسلم فسوق وقتاله كفر - متفق عليه
Maksudnya: “Menghina, mencerca, mencaci maki seseorang Islam adalah fasiq, dan membunuh orang Islam adalah kufur.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini ada dua golongan manusia yang amat buruk di sisi Allah. Golongan itu ialah fasiq dan kufur yang kedua-duanya terdiri daripada orang Islam sendiri.
Fasiq ialah orang yang mengekalkan dosa kecil. Namun dosa kecil yang besar di sisi Allah ialah menghina, mencerca, caci maki dan mengumpat orang Islam. Kalau umat Islam sering terlibat dalam perbuatan itu, mereka dicap sebagai fasiq. Dan orang fasiq dalam bahasa Melayu bermaksud orang jahat.
Orang yang fasiq, cakapnya tidak boleh dipercayai maka sebab itu Allah mengingatkan umat Islam, “jika datang orang fasiq membawa berita, hendaklah kamu selidik terlebih dahulu.” Jadi, kalau pemimpin yang naik dengan cara itu, sudah tentu dia termasuk dalam kategori fasiq.
Kufur pula ialah orang yang melakukan dosa besar. Kufur dalam bahasa yang mudah difahami ialah golongan yang suka menyalahi dan mempertikaikan larangan Allah. Maka berdasarkan hadis di atas, orang yang terlibat dalam membunuh orang Islam adalah dosa besar. Oleh sebab itu mereka dicap sebagai kufur.
Walau bagaimanapun dalam senarai dosa besar, terdapat dosa besar yang kecil di sisi Allah namun besar di sini manusia. Dosa tersebut ialah membuat fitnah dan menyebar fitnah. Hal ini kerana fitnah di sini Allah adalah lebih dahsyat daripada pembunuhan. Demikian seperti yang difirmankan Allah dalam al-Quran.
Kecilkah fasiq?
Fasiq walaupun melibatkan mereka yang melakukan dosa kecil, tetapi tidak boleh dipandang remeh oleh umat Islam. Hal ini kerana orang yang fasiq dalam Islam tidak sah menjadi wali pernikahan anak perempuannya. Dan seseorang yang fasiq juga tidak sah menjadi saksi dalam apa-apa majlis yang memerlukan saksi.
Begitulah buruknya nilaian orang fasiq. Tetapi mungkin kerana umat Islam tidak sedar akan nilaian itu, maka mereka terus melakukan fasiq. Mungkin mereka beranggapan bahawa fasiq boleh terhapus dengan isytighfar. Dan dosa kecil boleh terhapus dengan wuduk, maka bolehlah dosa itu dilanggar. Inilah salah faham yang menyebabkan umat Islam terus memilih fasiq tanpa ada rasa berdosa.
Sebenarnya jika merujuk kepada kepada hadis di atas, Rasulullah mengingatkan umat Islam tentang dosa menghina, mencerca, caci maki dan mengumpat orang Islam. Sebaliknya dalam dalam, keburukan seseorang Islam wajib ditutup oleh orang lain. Ingatlah walaupun mendedahkan keburukan yang kita lihat pada seseorang dikira dosa kecil tetapi dosa itu berada pada tingkat tertinggi. Maknanya orang yang terlibat dalam dosa ini berada pada kedudukan fasiq yang tertinggi.
Jelas, fasiq bukan perkara kecil yang boleh dikecil-kecilkan oleh umat Islam. Jadi, dalam keadaan apa pun, umat Islam mesti mengawal diri daripada terlibat dalam fasiq lagi. Apalah faedahnya kita dinilai hebat di sisi manusia tetapi dinilai fasiq di sisi Allah?
Cuma bersoalan sekarang, berapa ramai umat Islam yang menyedari peringatan Rasulullah itu? Mengapa mereka masih mahu dicap sebagai fasiq? Mahukah mereka dihalang daripada menjadi wali atau saksi untuk sesuatu pernikahan? Atau adakah mereka sanggup dipanggil orang jahat.
No comments:
Post a Comment