Friday, June 29, 2012

Himpunan Hijau Johor momentum Pakatan ke Putrajaya

Rizal Tahir, 30 Jun 2012


(Puluhan ribu rakyat Johor menyertai Himpunan Hijau di Dataran Dahlia malam tadi)

JOHOR BAHRU: Puluhan ribu rakyat Johor membanjiri Dataran Dahlia malam tadi bagi menyertai Himpunan Hijau ke Putrajaya yang turut membariskan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sambutan ini disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai kesediaan PAS untuk membentuk kezahiran bermakna parti Islam itu di Johor dan membantu Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

(Hairie Othman, pelakun filem Bukit Kepong menyerahkan borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Nik Aziz)

Majlis yang bermula 7 malam dengan solat Maghrib dan solat Munajat dan Tahlil itu turut menyaksikan penyerahan borang menyertai PAS oleh Hairie Othman, pelakun filem Bukit Kepong.

Majlis ini menjadi tumpuan kerana sebelum ini isu Bukit Kepong menjadi momokan Umno di Johor kononnya timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyokong Komunis apabila beliau memuji peranan Mat Indera dalam satu ceramahnya.

Ia menjadi sebaliknya apabila pihak yang membuat laporan polis terhadap kes ini memohon maaf kepada Mohamad di mahkamah dan mengaku laporan polis yang beliau buat berdasarkan laporan media Umno iaitu Utusan Malaysia semata-mata.


(Tuan Guru Nik Aziz membacakan doa selepas mengimamkan solat Jumaat di Masjid Jamek Pasir Gudang)

Sepanjang berada di Johor, Tuan Guru Nik Aziz juga sempat mengimamkan solat Jumaat di Masjid Jamek Pasir Gudang.

Beliau mendapat sambutan hangat dari masyarakat tempatan apabila mereka berebut-rebut mahu bersalam dengan beliau.

Himpunan Hijau kali ini disertai juga Jamuan Anak Kelantan di Perantauan yang diadakan di Taman Kempas Permai.

Turut diadakan adalah jamuan makan malam bersama masyarakat Cina yang diadakan di sebuah restoran terkenal di Danga Bay dekat sini.

(Selamat kembali ke Johor diucapkan kepada Salahudin dengan MB Kelantan menyerahkannya kepada Pesuruhjaya PAS Johor)

Di pentas utama di Dataran Dahlia, anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub secara rasmi diserahkan kepada Johor kembali apabila Tuan Guru NIk Aziz melakukan upacara penyerahan rasmi itu.

Dengan ini, segala berita-berita angin menjadi sahih, Salahudin akan bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dengan diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan kepada Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

Para pemerhati politik berpendapat, dengan lambatnya pilihan raya umum membolehkan mementum PAS malam tadi dikembangkan ke seluruh Johor.

Ini kerana, jika Pakatan Rakyat mahu ke Putrajaya, sumbangan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen diperlukan Pakatan dari Johor.

Sunday, June 17, 2012

Cadang Majlis Fatwa haramkan PRU musim haji

Harakahdaily, 17 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mazlee Malek meminta Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa bahawa mengadakan pilihan raya di musim haji adalah haram.

"Majlis Fatwa harus berani mengeluarkan fatwa yang PRU adalah haram diadakan di musim Haji," katanya kepada Harakahdaily.

Dr Mazlee mengulas polimik isu ini apabila Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar ahli PAS yang terlibat dengan PRU menangguh pemergian mereka ke tanah suci jika PRU diadakan di masa itu juga.

Bagi Dr Marslee, isunya bukan hukum menangguhkan haji kerana PRU, perspektif menyikapi isu ini perlu diperbetulkan.

"Sepatutnya, kita perlu sedar bahawa setiap hak setiap warga yang sah untuk mengundi adalah dijamin oleh perlembagaan.

"Maka, setiap warga Malaysia yang sah yang menetap di luar negara wajib diberi peluang untuk mengundi.

Mengadakan pilihan raya di musim haji jelasnya akan menjejaskan peluang warga Malaysia yang menunaikan haji untuk menjalankan hak mereka yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan.

Bagi Mazlee, mengundi juga merupakan kewajipan setiap individu muslim untuk menentukan kelangsungan masa depan negara dan menepati Maqasid al-Syari'ah.

"Perlu ada precedence pada SPR bahawa PRU samasekali tidak boleh diadakan di musim haji," katanya.

Saturday, June 9, 2012

syukurlah kita dah kuat kalau tak konfim UMNO ratah kita

  PTPTN: Salah congak, BN terpaksa buat 'U turn'

Harakahdaily, 09 Jun 2012
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah pribahasa yang sesuai menggambarkan nasib menimpa Umno BN berhubung tindakan mereka membekukan PTPTN kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Pada mulanya Umno menjangkakan tindakan itu bakal memberi manfaat politik yang besar terhadap mereka sekaligus memberi tekanan baru kepada Pakatan Rakyat Khususnya di Selangor.

Mungkin pada perkiraan awalnya, Umno mencongak bahawa tindakan itu akan membangkitkan kemarahan rakyat kepada Pakatan Rakyat, yang sebelum ini berjanji akan memberi pendidikan percuma jika diberi peluang mengambil alih pemerintahaan negara.

Janji itu yang dicanang berulang-ulang oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dibentang dalam debat antara Rafizi dan Khairy, terus mendapat sokongan besar khususnya daripada golongan mahasiswa dan anak muda.

Mungkin kerana gusar dengan perkembangan itu, Umno BN kemudiannya cuba 'menguji' kerajaan Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim dengan menyekat pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru di kedua-dua universiti itu.

Pada anggapan mereka, Kerajaan Selangor tidak akan mampu menyediakan dana menggantikan pinjaman kepada pelajar Unisel dan isu itu pada mereka, akan meletup dengan persepsi bahawa 'jangan percaya janji Pakatan Rakyat lagi'.

Orang yang dilihat gembira dan 'mastermind' disebalik pembekuan itu adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin yang turut disokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam reaksi mereka, seolah-olah mahu berkata 'padan muka kamu' kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun reaksi mereka itu mendapat kritikan dari pelbagai pihak termasuk dari beberapa pemimpin Umno sendiri yang melihat tindakan itu terlalu politik sehingga sanggup menggadai kebajikan pelajar.

Tetapi kedua-dua pemimpin ini akhirnya terpaksa 'menjilat ludah sendiri' apabila tiba-tiba Tan Sri Khalid mengumumkan bahawa Unisel akan mencairkan aset yang dimilikki IPTS itu bagi membantu mahasiswa yang tertindas.

Aset tersebut merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM dengan anggaran RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha tersebut.

Belum sampai 24 jam pengumuman itu dibuat, PTPTN semalam mengumumkan pula pembatalan pembekuan pinjaman tersebut kepada pelajar Unisel.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam reaksinya ketika berceramah di Kelantan malam tadi berkata, tindakan u-turn itu dibuat Umno kerana panik dengan kemampuan kerajaan negeri.

“Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.

“Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel,” katanya.

Banyak pihak melihat, pertarungan dalam isu PTPTN ini, menghasilkan keptusan 3-0 iaitu Pakatan Rakyat, 3 dan BN, 0.

Mata pertama diperolehi Pakatan Rakyat apabila tawaran pendidikan percuma yang dilontarkan oleh Datuk Seri Anwar serta janji mansuh PTPTN berjaya menarik sokongan anak muda.

Mata kedua pula diperolehi melalui debat Rafizi dan Khairy apabila ramai melihat mekanisma pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma yang dijelaskan Rafizi benar-banar realistik dan mampu dilaksanakan.

Manakala mata ketiga, baru sahaja diperolehi apabila kerajaan dan PTPTN mengumumkan penarikan balik pembekuan pinjaman terhadap pelajar Unisel dan Kuis semalam.

Sunday, June 3, 2012

Selepas selesai penipuan baru pilihan raya?



Harakahdaily, 03 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Selepas penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

"Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataannya kepada media.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

 
BILAKAH TARIKH PILIHAN RAYA

Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.  Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia.

BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengendalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya.

Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum.

Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihanraya umum selesai diadakan.

Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum.

Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya.

Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.

Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit  dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN.

Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan.

Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi.

Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan.

Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.

 
PRESIDEN PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang