PTPTN: Salah congak, BN terpaksa buat 'U turn'
Harakahdaily, | 09 Jun 2012 |
Pada mulanya Umno menjangkakan tindakan itu bakal memberi manfaat politik yang besar terhadap mereka sekaligus memberi tekanan baru kepada Pakatan Rakyat Khususnya di Selangor.
Mungkin pada perkiraan awalnya, Umno mencongak bahawa tindakan itu akan membangkitkan kemarahan rakyat kepada Pakatan Rakyat, yang sebelum ini berjanji akan memberi pendidikan percuma jika diberi peluang mengambil alih pemerintahaan negara.
Janji itu yang dicanang berulang-ulang oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dibentang dalam debat antara Rafizi dan Khairy, terus mendapat sokongan besar khususnya daripada golongan mahasiswa dan anak muda.
Mungkin kerana gusar dengan perkembangan itu, Umno BN kemudiannya cuba 'menguji' kerajaan Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim dengan menyekat pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru di kedua-dua universiti itu.
Pada anggapan mereka, Kerajaan Selangor tidak akan mampu menyediakan dana menggantikan pinjaman kepada pelajar Unisel dan isu itu pada mereka, akan meletup dengan persepsi bahawa 'jangan percaya janji Pakatan Rakyat lagi'.
Orang yang dilihat gembira dan 'mastermind' disebalik pembekuan itu adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin yang turut disokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam reaksi mereka, seolah-olah mahu berkata 'padan muka kamu' kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun reaksi mereka itu mendapat kritikan dari pelbagai pihak termasuk dari beberapa pemimpin Umno sendiri yang melihat tindakan itu terlalu politik sehingga sanggup menggadai kebajikan pelajar.
Tetapi kedua-dua pemimpin ini akhirnya terpaksa 'menjilat ludah sendiri' apabila tiba-tiba Tan Sri Khalid mengumumkan bahawa Unisel akan mencairkan aset yang dimilikki IPTS itu bagi membantu mahasiswa yang tertindas.
Aset tersebut merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM dengan anggaran RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha tersebut.
Belum sampai 24 jam pengumuman itu dibuat, PTPTN semalam mengumumkan pula pembatalan pembekuan pinjaman tersebut kepada pelajar Unisel.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam reaksinya ketika berceramah di Kelantan malam tadi berkata, tindakan u-turn itu dibuat Umno kerana panik dengan kemampuan kerajaan negeri.
“Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.
“Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel,” katanya.
Banyak pihak melihat, pertarungan dalam isu PTPTN ini, menghasilkan keptusan 3-0 iaitu Pakatan Rakyat, 3 dan BN, 0.
Mata pertama diperolehi Pakatan Rakyat apabila tawaran pendidikan percuma yang dilontarkan oleh Datuk Seri Anwar serta janji mansuh PTPTN berjaya menarik sokongan anak muda.
Mata kedua pula diperolehi melalui debat Rafizi dan Khairy apabila ramai melihat mekanisma pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma yang dijelaskan Rafizi benar-banar realistik dan mampu dilaksanakan.
Manakala mata ketiga, baru sahaja diperolehi apabila kerajaan dan PTPTN mengumumkan penarikan balik pembekuan pinjaman terhadap pelajar Unisel dan Kuis semalam.
No comments:
Post a Comment