http://tanbihul_ghafilin.tripod.com
Ibadat puasa adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang
hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya
matahari (masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah
menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang
perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada
Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya.
Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah
puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa
atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu,
semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)
Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu
akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi:
"Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca
segala penyakit."
Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
-
Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t.
atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak
terhingga
-
Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak
kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya
meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram,
bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
-
Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan
belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik
kehidupan mereka
-
Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji)
seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
-
Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung
kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
-
Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana
disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu
tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka
selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan, ada lagi puasa-puasa sunat
yang elok dilakukan sepanjang tahun iaitu seperti yang akan disebutkan nanti.
FADHILAT PUASA RAMADHAN
Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada
setiap individu Muslim dan Muslimah
yang telah 'aqil baligh
dan ketiadaan uzur syar'i. Uzur puasa
seperti sakit dan dalam perjalanan (musafir)
sejauh 91km. atau lebih. Orang yang uzur boleh meninggalkan puasanya. tetapi
wajib mengqadhanya pada hari dan bulan yang
lain.
Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu
rukun Islam yang kelima. Pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabda Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada bulan
Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaan Allah
s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk:
Al-Targhib II:206)
Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.: "Setiap
amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang
seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah
s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku,
maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan
syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku"
Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau
berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut
orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat
Muslim dari Abu Hurairah)
FADHILAT PUASA-PUASA
SUNNAT SEPANJANG TAHUN
1. Puasa
enam hari dalam bulan Syawal
Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadhan,
kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah
seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)
Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada
hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut,
misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam
hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari
dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.
2. Puasa
hari 'Arafah (9 Zulhijjah)
Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat
besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah
s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah,
sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan
tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)
Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu
menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Diriwayat
oleh Muslim)
3. Puasa
pada bulan Muharram
Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah
s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan
ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat
selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)
Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah
s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya
terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan
Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan
oleh al-Tabrani)
4. Puasa
pada hari 'Asyura (10 Muharram)
Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w.
telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan
Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
"Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
5. Puasa
hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)
Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum
sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w.
bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku
akan berpuasa pada 9 Muharra,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
PERINGATAN
Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah
digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari
selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari
berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja
maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang
bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah
menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari
sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)
6. Puasa
bulan Sya'aban
Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: "Wahai Rasullullah,
tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam
setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda
Rasullullah s.a.w.: "Bulan ini (yakni bulan
Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada
hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru
sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat
al-Nasai)
Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat Rasullullah
s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban
dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)
7. Puasa
pada hari Isnin dan Khamis
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w.
sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.)
segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika
diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah
sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda
s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang
padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran
diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)
8. Puasa
hari Rabu, Khamis dan Jumaat
Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku
bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w.
mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda
Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak
dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada
hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari
dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh
telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka."
(Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah
s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan
Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya
sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya
bebas dari api neraka>" (Riwayat al-Tabrani)
Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad
s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu,
Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak,
nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru
dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh
al-Tabrani)
9. Puasa
pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)
Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap
bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari
13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang
sohih)
10. Puasa tiga
hari pada setiap bulan
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda
Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga hari pada
setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."
Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama.
Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah
pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i,
Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.
Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.
11. Puasa
selang-seli (sehari puasa sehari tidak)
Hadith daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita
kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah)
waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan,
untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan
berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda
mendapat pahala sepanjang tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah,
aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda
Rasullullah s.a.w. "Maka berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu
berpuasalah sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah
sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah
s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah
s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun
beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari
dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
PERINGATAN
1. Dalam mencari pahala puasa sunnat, janga
tersalah hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu:
-
TANGGAL 1 SYAWAL (HARI RAYA AIDIL FITRI)
-
10 ZULHIJJAH (HARI RAYA AIDIL ADHA)HARI-HARI TASYRIQ:
11, 12 DAN 13 ZULHIJJAH
-
HARI SYAK MUNGKIN HARI MULA BERPUASA (30 SYA'ABAN)
-
SELEPAS 15 SYA'ABAN JIKA BUKAN PUASA QADHA ATAU NAZAR
ATAU TIADA HUBUNGAN DENGAN PUASA PADA HARI SEBELUMNYA, ATAU BUKAN HARI YANG
BIASA BERPUASA
-
PUASA SUNNAT BAGI WANITA TANPA IZIN SUAMI (JIKA SUAMI
BERMUKIM YAKNI TAK MUSAFIR ATAU BERPERGIAN JAUH)
2. JANGAN PULA BERPUASA PADA HARI-HARI YANG
DIMAKRUHKAN:
-
PUASA ORANG YANG SAKIT BERSANGATAN
-
PUASA ORANG YANG SANGAT TUA
-
PUASA WANITA YANG HAMIL
-
PUASA ORANG YANG MUSAFIR
-
PUASA PADA HARI 'ARAFAH BAGI ORANG YANG MENGERJAKAN
HAJI
-
PUASA PADA HARI SABTU SAHAJA (DITUNGGALKAN)
-
PUASA PADA HARI JUMAAT SAHAJA (DITUNGGALKAN)
-
PUASA ASALNYA SUNNAT DIKERJAKAN OLEH ORANG YANG
MENANGGUNG PUASA QADHA
-
PUASA SEPANJANG TAHUN (SEPANJANG MASA)
3. ORANG YANG MENGERJAKAN PUASA WAJIB
DIKEHENDAKI BERNIAT PUASA PADA WAKTU MALAM. ADAPUN PUASA SUNNAT BOLEH BERNIAT
PADA PAGI HARI SEBELUM TERGELINCIR MATAHARI (BELUM MASUK WAKTU ZUHUR) DENGAN
SYARAT BELUM MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
4. NIAT PUASA TIDAK SEMESTINYA DENGAN
MELAFAZKAN DALAM BAHASA ARAB, MEMADAI MELINTASKAN DIDALAM HATI DENGAN APA-APA
JUGA BAHASA YANG KITA FAHAMI, IAITU BAHAWA KITA HENDAK MELAKUKAN PUASA (SEBUT
JENIS PUASANYA) PADA HARI ESOK (JIKA NIAT PADA WAKTU MALAM) ATAU PADA HARI INI (JIKA
BERNIAT PADA WAKTU DINIHARI ATAU WAKTU SAHUR ATAU PADA SEBELAH PAGI SELEPAS
SUBUH JIKA PUASA SUNNAT)