Tazkirah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, | 02 Ogs 2013 |
Kecuali berlaku jenayah dalam negeri dan seseorang itu ditugaskan oleh pihak berwajib menyiasat bagi membasmi jenayah tersebut.
Pegawai khas yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah itu mestilah melakukan tugasnya, berhak untuk bertanya sesiapa jua untuk mencari punca jenayah tersebut. Hingga jenayah dan penjenayah dapat dibasmi dalam negeri.
Bertugas menyiasat berbeza dengan orang yang mengintip dan mencari keburukan orang lain, tugas yang dipikulkan seorang pegawai penyiasat mengharuskan dia berbuat sesuatu yang melibatkan pengintipan rahsia (tajassus).
Jika tidak berbuat demikian maka jenayah tidak mungkin dapat dibasmi, rakyat sentiasa bimbang dengan meningkatnya kadar jenayah.
Ada perbezaan yang nyata antara mencungkil rahsia untuk memuaskan nafsu dengan petugas khas mencari punca rahsia untuk membasmi jenayah. Justeru pegawai berkenaan apabila menjalankan penyiasatan tidak boleh berat sebelah.
Ini kerana ia mendatangkan ketidakadilan, sedangkan tugasnya menghendaki yang didapati bersalah untuk dihukumkan salah, yang tidak bersalah segera dibebas. Jika berat sebelah dalam penyiasatan mungkin akan berlaku kezaliman. Orang yang bersikap seolah-olah tidak tahu keaiban orang secara personal, tidak menceritakan kepada pihak lain adalah tanda orang itu beragama.
Orang beragama itu bukan saja dia mempunyai banyak ilmu, tetapi berperangai murni kerana tidak mencerita dan mendedahkan keburukan orang.
Ketahuilah sesungguhnya tidak sempurna iman seserorang itu, selagi dia tidak sayang kepada kawannya apa jua perkara yang ia sayang untuk dirinya.
Inilah pedoman hidup di dunia supaya hubungan manusia jadi baik dan harmoni, iaitu lakukan sesuatu yang baik untuk orang seperti yang ia setuju dilakukan terhadap dirinya.
Umpamanya; marah apabila kawan lambat memulangkan barang yang dipinjamnya, begitulah sebaliknya segera pulangkan barang yang kita pinjam daripada orang lain, kerana mereka pun tidak setuju diperlakukan demikian.
Apa yang menyebabkan seseorang suka menceritakan keburukan orang lain, ialah disebabkan oleh penyakit hati yang telah lama tertimbus tanpa rawatan. Tubuh manusia ini terbahagi dua anasir, unsur pertama ialah jasad yang zahir (jasmani) yang dapat disentuh dan dilihat.
Unsur kedua ialah batin rohani (jiwa) yang seni, yang tidak dapat disentuh atau dipandang. Penyakitnya dua jenis juga, penyakit pada jasad yang zahir boleh dirawat oleh tabib dan doktor.
Tetapi penyakit rohani tidak mudah dirawat kecuali oleh pakar ilmu jiwa yang mukmin iaitu ulama ahli tasauf.
Penyakit yang menyebabkan manusia gemar bercerita dan dedah keaiban orang, iaitu “dendam” dan “dengki.” Ia sukar dilihat dan dirawat, kerana penyakit tersebut ibarat telah lama tertanam, di luarnya kelihatan elok tetapi di dalam amat buruk.
Orang yang jiwanya dihinggapi penyakit tersebut, menyebabkan mata dan telinga hatinya buta dan tuli daripada menghargai kebaikan orang.
Sebaliknya hanya memandang dan mendengar keburukan orang sahaja. Manusia yang berdendam sesama Muslim atas dorongan nafsu tanda kelemahan imannya, kedudukan dirinya amat bahaya jika tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.
Hatinya keji dan kotor (khobais) tidak layak untuk berdepan dengan Allah SWT setelah rohnya diambil oleh malaikat maut.
Justeru iman yang lemah pada sudut apa pun hendaklah digagahkan, sama ada lemah iman dalam urusan sesama manusia apatah lagi terhadap Allah SWT.
Antara kaedah mengawal lidah ialah jangan dedah rahsia peribadi dan hendaklah senyap daripada memperkatakan rahsia yang diamanahkan kepada kita. Ini kerana ada kalanya manusia terpaksa menceritakan kekurangan diri untuk melapangkan dada, tetapi pihak yang menerima curahan bukan untuk diceritakan kepada pihak lain.
Selain daripada mengambil sikap menyepi terhadap rahsia orang, seseorang itu berhak menidakkan jika ada orang membawa cerita rahsia seseorang itu sekalipun betul. Meskipun bercakap benar itu wajib, tetapi tidak pada semua ketika dan semua keadaan mesti bercakap benar.
Menurut Al-Ghazali sayogia tidak bercakap benar jika sesuai dengan ketikanya, iaitu ketika hendak menyelamatkan maruah kawannya daripada tercemar.
Seseorang hendaklah tutup rahsia keaiban dirinya sekalipun terpaksa tidak bercakap benar, kerana dedah rahsia diri tidak baik di sisi agama.
Begitu juga jika tidak berusaha menutup rahsia maruah kawannya, kerana kawan adalah umpama diri sendiri yang wajib dipertahankan juga.
Seseorang dengan kawannya bagai satu anggota yang tiada beza kecuali tubuhnya sahaja, sebagaimana seseorang dianjur menutup keaiban diri, begitu juga berkewajipan menutup rahsia keaiban kawannya. Inilah hakikat persahabatan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang sanggup menutup keaiban saudaranya, Allah SWT akan tutup keaiban (kecacatan) dirinya di dunia dan di akhirat.”
Lebih memalukan apabila keburukan terdedah di akhirat kelak, di hadapan Nabi Muhammad s.a.w. dan para rasul yang lain. Namun Allah SWT berjanji akan menutupnya jika di dunia ini dia berusaha menutup keburukan orang lain.
No comments:
Post a Comment