Saturday, January 5, 2013

Hukum Wanita Haid Masuk Masjid Untuk Menuntut Ilmu

Jumaat, 4 Januari 2013


Soalan:
Apa hukum wanita yang datang haid duduk di dalam masjid untuk tujuan menuntut ilmu?

Jawapan:

1. HUKUM

Hukum yang dipegang oleh kebanyakan ulama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal ialah haram bagi wanita haid duduk di dalam masjid.

Pendapat Imam Dawud Zahiri, Imam Muzani, Ibn Hazim Zahiri serta beberapa orang lain lagi pula ialah diharuskan.

DALIL YANG MENGHARAMKAN:

Dalil mereka yang mengharamkan ialah dua hadis Nabi saw:

Pertama: Hadis `Aisyah radiyallahu `anha

جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَوُجُوهُ بُيُوتِ أَصْحَابِهِ شَارِعَةٌ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنْ الْمَسْجِدِ ثُمَّ دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَصْنَعْ الْقَوْمُ شَيْئًا رَجَاءَ أَنْ تَنْزِلَ فِيهِمْ رُخْصَةٌ فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ بَعْدُ فَقَالَ وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنْ الْمَسْجِدِ فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

Maksudnya: “Nabi saw datang ke Masjid Nabawi. Di kala itu muka pintu rumah para sahabat Nabi saw bersambungan dengan Masjid Nabawi. Baginda lantas bersabda: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid” Kemudian baginda memasuki masjid. Orang ramai belum mengambil apa-apa tindakan pun kerana mengharapkan agar turun kepada mereka kelonggaran. Setelah itu baginda keluar bertemu mereka. Baginda lantas bersabda lagi: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid, kerana sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub” [1]

Kedua : Ummu Salamah radiyallahu `anha.

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ إِنَّ الْمَسْجِدَ لَا يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلَا لِحَائِضٍ

Maksudnya: “Baginda saw masuk ke pintung gerbang masjid lalu menyeru dengan suara yang lantang: “Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.”[2]

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa perempuan haid dan orang yang berjunub lelaki atau perempuan tidak boleh duduk di dalam masjid.

Adapun melintasinya kebanyakan ulama mengharuskan dengan dua syarat iaitu ada keperluan-keperluan tertentu dan kedua diyakini masjid tidak dikotori dengan najis darah haid yang akan menitis. Dalilnya dua:

Pertama: firman Allah:

{ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ }[3]

Maksudnya: “(jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub melainkan orang yang melintasinya.”

Kedua: hadis `Aisyah yang mana baginda ketika berada di seberang sana masjid mengarahkan beliau menghulurkan kepada baginda hamparan solat. `Aisyah lalu memberi alasan bahawa beliau kedatangan haid. Nabi lantas bersabda:

لَيْسَتْ حَيْضَتُكِ فِي يَدِكِ

“Haid kamu bukan pada tangan kamu.”[4]

DALIL YANG MENGHARUSKAN:

Dalil mereka ialah kedua-dua hadis `Aisyah dan Ummu Salamah di atas adalah lemah. Dengan itu tiada dalil yang kuat yang boleh mengharamkan. Rentetan itu, hokum duduk di dalam masjid adalah kembali kepada hokum asal dalam melakukan sesuatu iaitu harus.[5]

PERBINCANGAN DALIL

Hujah yang mengatakan bahawa hadis Aisyah dan Ummu Salamah di atas adalah lemah telah dibantah oleh para ulama terkemudian antaranya Imam Syaukani. Bagi beliau kedua-dua hadis di atas samada berstatus Hasan atau Sahih dan kedua-duanya boleh dijadikan hujah dalam hokum.[6]

KESIMPULAN/HUKUM YANG DIPEGANG

Merujuk kepada soalan di atas, wanita haid yang ingin menuntut ilmu di masjid tidak boleh duduk di dalam masjid. Namun, mereka boleh berada di tempat yang tidak dikhususkan untuk solat seperti dewan kuliah yang asing yang tidak dijadikan tempat solat, tempat rehat di tingkat bawah masjid, tempat berwudu’, kawasan persekitaran masjid dan lain-lainnya.

Sekiranya ada yang ingin berpegang dengan pendapat kedua yang mengharuskan, mudah-mudahan itulah antara rahmat keluasan fiqh dan perbezaan pendapat dalam fiqh Islam. Wallahu a`lam.

[1] Hadis riwayat Abu Dawud (no 201).

[2] Hadis riwayat Ibn Majah (no 637).

[3] Al-Qur’an, surah al-Nisa’, ayat 43.

[4] Hadis riwayat Ibn Majah (no 624).

[5] Syauqani, Nayl al-Autor, juz 2, hlm 94

[6] Ibid, hlm 95.

RUJUKAN
1. Fatawa Lajnah Daimah li al-Buhuth al`Ilmiyyah wa al-Ifta’, juz 8, hlm 284.Fatwa no 5167.
2. Himpunan Fatawa dan Tulisan Syeikh Ibn Baaz, juz 10, hlm. 221.
3. `Azim Aabadi, `Awn al-Ma`bud.
4. Syauqani, Nayl al-Autor

No comments:

Post a Comment