Saturday, August 10, 2013

Waktu-waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan.Disenaraikan waktu-waktu mustajab tersebut antara lain ialah :
(1). Sepertiga Akhir Malam
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya” . (Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)
(2). Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa
Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiyallahu ‘anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”. (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da’watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17),
(3). Setiap Selepas Shalat Fardhu
Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab.
“Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu”.
(Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).
(4). Ketika Saat Perang Berkecamuk
Dari Sahl bin Sa’ad Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda.
“Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk”. (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa’ 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta’liq Alal Misykat 1/212 No. 672).
(5). Sesaat ketika Hari Jum’at
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum’at ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut”. (Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)
Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.
Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum’at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib.
(6). Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada Allah
Dari ‘Amr bin ‘Anbasah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya” . (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595)
Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)
Yang dimaksudkan dengan “ta’ara minal lail” terbangun dari tidur pada malam hari.
(7). Doa Di antara Adzan dan Iqamah  
Dari Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda.
“Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah”. (Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)
(8). Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Shalat
Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan”. (Shahih Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur’an fi Ruku’ wa Sujud 2/48)
Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.
(9). Ketika Saat Sedang Hujan
Dari Sahl bin a’ad Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan”. (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ No. 3078).
Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).
(10). Ketika Saat Ajal Tiba
Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah ‘alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau ‘alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akan
mengikutinya’ . Semua keluarga histeria. Baginda ‘alaihi wasallam bersabda : ‘Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan”. (Shahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)
(11). Ketika Lailatul Qadar
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman.
“Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar”. (Al-Qadr : 3-5)
Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)
(12). Doa Ketika Hari Arafah
Dari ‘Amr bin Syu’aib Radhiyallahu ‘anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”. (Sunan At-Tirmidzi, bab
Jamiud Da’waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta’liq alal Misykat 2/797 No. 2598)

Friday, August 2, 2013

3 GOLONGAN

Sesungguhnya Allah s.w.t mengasihi tiga orang dan lebih mengasihi tiga orang dan sesungguhnya Allah murka kepada tiga orang dan lebih memurkai tiga orang.
Kasih Allah :-
* Sesungguhnya Allah s.w.t mengasihi orang tua yang taat kepada perintah-Nya tetapi Allah lebih mengasihi remaja yang mentaati perintah-Nya.
* Sesungguhnya Allah mengasihi orang fakir yang rendah diri ( tawadu') tetapi Allah lebih mengasihi orang kaya yang bersikap rendah diri ( tawadu')
* Sesungguhnya Allah mengasihi orang kaya yang pemurah tetapi Allah lebih mengasihi orang miskin yang pemurah.
Kemurkaan Allah:
* Allah membenci pemuda yang membuat maksiat tetapi Allah lebih membenci orang tua yang melakukan maksiat.
* Allah membenci orang kaya yang takabbur( sombong ) tetapi Allah lebih membenci kepada orang miskin yang sombong (takabbur).
* Allah membenci orang fakir yang kedekut tetapi Allah lebih membenci orang kaya yang kedekut
 

Indahnya Sakaratul Maut Buat Hujjatul Islam Imam Al Ghazali Rahimahullah

Adik Imam al-Ghazali, Ahmad menceritakan saat menjelang ajal abangnya: 

“Pada waktu subuh hari Isnin, abangku Abu Hamid mengambil wuduk lalu bersolat. Kemudian beliau berkata: “Bawakan kain kapanku,” lalu diambil dan dicium serta diletakkan di mata sambil berkata lagi: “Aku patuh dan taat untuk masuk kepada malaikat.” 

Kemudian al-Ghazali mengunjurkan kakinya dan menghadap ke kiblat dan wafat sebelum matahari terbit.

”Imam al-Ghazali wafat pada pagi Isnin, 14 Jamadilakhir 505H/19 Disember 1111M di Tus dengan kitab hadis atas dadanya.

Jenazah beliau dikebumikan di makam al-Tabaran, bersebelahan dengan makam penyair besar yang terkenal, Firdausi.
 
Diceritakan bahawa Syeikh Abul Hasan al-Syadzili bermimpi bahawa dia melihat Nabi s.a.w. menunjukkan Imam al-Ghazali kepada Nabi Musa dan Isa, sambil bertanya kepada kedua mereka, “Adakah terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda berdua?” Jawab keduanya tidak ada.
 

Thursday, August 1, 2013

Peliharalah Aib Orang Lain

Tazkirah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 02 Ogs 2013
TAHASSUS (mengendap mencari rahsia dengan mata dan telinga) dan tajassus (mencungkil rahsia buruk seseorang), kedua-duanya ditegah oleh Islam.

Kecuali berlaku jenayah dalam negeri dan seseorang itu ditugaskan oleh pihak berwajib menyiasat bagi membasmi jenayah tersebut.

Pegawai khas yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah itu mestilah melakukan tugasnya, berhak untuk bertanya sesiapa jua untuk mencari punca jenayah tersebut. Hingga jenayah dan penjenayah dapat dibasmi dalam negeri.

Bertugas menyiasat berbeza dengan orang yang mengintip dan mencari keburukan orang lain, tugas yang dipikulkan seorang pegawai penyiasat mengharuskan dia berbuat sesuatu yang melibatkan pengintipan rahsia (tajassus).

Jika tidak berbuat demikian maka jenayah tidak mungkin dapat dibasmi, rakyat sentiasa bimbang dengan meningkatnya kadar jenayah.

Ada perbezaan yang nyata antara mencungkil rahsia untuk memuaskan nafsu dengan petugas khas mencari punca rahsia untuk membasmi jenayah. Justeru pegawai berkenaan apabila menjalankan penyiasatan tidak boleh berat sebelah.

Ini kerana ia mendatangkan ketidakadilan, sedangkan tugasnya menghendaki yang didapati bersalah untuk dihukumkan salah, yang tidak bersalah segera dibebas. Jika berat sebelah dalam penyiasatan mungkin akan berlaku kezaliman. Orang yang bersikap seolah-olah tidak tahu keaiban orang secara personal, tidak menceritakan kepada pihak lain adalah tanda orang itu beragama.

Orang beragama itu bukan saja dia mempunyai banyak ilmu, tetapi berperangai murni kerana tidak mencerita dan mendedahkan keburukan orang.

Ketahuilah sesungguhnya tidak sempurna iman seserorang itu, selagi dia tidak sayang kepada kawannya apa jua perkara yang ia sayang untuk dirinya.

Inilah pedoman hidup di dunia supaya hubungan manusia jadi baik dan harmoni, iaitu lakukan sesuatu yang baik untuk orang seperti yang ia setuju dilakukan terhadap dirinya.

Umpamanya; marah apabila kawan lambat memulangkan barang yang dipinjamnya, begitulah sebaliknya segera pulangkan barang yang kita pinjam daripada orang lain, kerana mereka pun tidak setuju diperlakukan demikian.

Apa yang menyebabkan seseorang suka menceritakan keburukan orang lain, ialah disebabkan oleh penyakit hati yang telah lama tertimbus tanpa rawatan. Tubuh manusia ini terbahagi dua anasir, unsur pertama ialah jasad yang zahir (jasmani) yang dapat disentuh dan dilihat.

Unsur kedua ialah batin rohani (jiwa) yang seni, yang tidak dapat disentuh atau dipandang. Penyakitnya dua jenis juga, penyakit pada jasad yang zahir boleh dirawat oleh tabib dan doktor.

Tetapi penyakit rohani tidak mudah dirawat kecuali oleh pakar ilmu jiwa yang mukmin iaitu ulama ahli tasauf.

Penyakit yang menyebabkan manusia gemar bercerita dan dedah keaiban orang, iaitu “dendam” dan “dengki.” Ia sukar dilihat dan dirawat, kerana penyakit tersebut ibarat telah lama tertanam, di luarnya kelihatan elok tetapi di dalam amat buruk.

Orang yang jiwanya dihinggapi penyakit tersebut, menyebabkan mata dan telinga hatinya buta dan tuli daripada menghargai kebaikan orang.

Sebaliknya hanya memandang dan mendengar keburukan orang sahaja. Manusia yang berdendam sesama Muslim atas dorongan nafsu tanda kelemahan imannya, kedudukan dirinya amat bahaya jika tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Hatinya keji dan kotor (khobais) tidak layak untuk berdepan dengan Allah SWT setelah rohnya diambil oleh malaikat maut.

Justeru iman yang lemah pada sudut apa pun hendaklah digagahkan, sama ada lemah iman dalam urusan sesama manusia apatah lagi terhadap Allah SWT.

Antara kaedah mengawal lidah ialah jangan dedah rahsia peribadi dan hendaklah senyap daripada memperkatakan rahsia yang diamanahkan kepada kita. Ini kerana ada kalanya manusia terpaksa menceritakan kekurangan diri untuk melapangkan dada, tetapi pihak yang menerima curahan bukan untuk diceritakan kepada pihak lain.

Selain daripada mengambil sikap menyepi terhadap rahsia orang, seseorang itu berhak menidakkan jika ada orang membawa cerita rahsia seseorang itu sekalipun betul. Meskipun bercakap benar itu wajib, tetapi tidak pada semua ketika dan semua keadaan mesti bercakap benar.

Menurut Al-Ghazali sayogia tidak bercakap benar jika sesuai dengan ketikanya, iaitu ketika hendak menyelamatkan maruah kawannya daripada tercemar.

Seseorang hendaklah tutup rahsia keaiban dirinya sekalipun terpaksa tidak bercakap benar, kerana dedah rahsia diri tidak baik di sisi agama.

Begitu juga jika tidak berusaha menutup rahsia maruah kawannya, kerana kawan adalah umpama diri sendiri yang wajib dipertahankan juga.

Seseorang dengan kawannya bagai satu anggota yang tiada beza kecuali tubuhnya sahaja, sebagaimana seseorang dianjur menutup keaiban diri, begitu juga berkewajipan menutup rahsia keaiban kawannya. Inilah hakikat persahabatan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang sanggup menutup keaiban saudaranya, Allah SWT akan tutup keaiban (kecacatan) dirinya di dunia dan di akhirat.”

Lebih memalukan apabila keburukan terdedah di akhirat kelak, di hadapan Nabi Muhammad s.a.w. dan para rasul yang lain. Namun Allah SWT berjanji akan menutupnya jika di dunia ini dia berusaha menutup keburukan orang lain.