1. SOLAT SUNAT HARI RAYA DAN SOLAT JUMAAT
Secara kebetulan, Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini jatuh pada hari jumaat. Justeru, bermacam-macam fatwa dikeluarkan oleh individu yang merasakan dirinya adalah Mufti padahal mereka ini tiada langsung pengetahuan agama.
Tak payah sembahyang Jumaat sebab dah sembahyang Raya tadi.
Itulah antara ungkapan yang saya dengar selepas solat Sunat Eid al-Fitri. Saya sendiri tidak pasti dari manakah mereka mendapat fatwa tersebut.
Bagi menjawab persoalan ini, saya sarankan anda teliti dahulu hadis ini :
Pertama : Hadis Zaid bin Arqam :
Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam R.A : Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah S.A.W? Jawabnya : Ya! Kata Muawiah : Bagaimana Rasulullah S.A.W melakukannya? Kata Zaid: Nabi S.A.W melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.”
Kedua : Hadis Abu Hurairah :
Sabda Nabi S.A.W : “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi S.A.W) akan menunaikan (juga) solat Jumaat”.
Ketiga : Hadis Abdullah bin Abbas.
Sabda Nabi S.A.W : “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi S.A.W) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”.
KESIMPULAN
Umat Islam diberikan rukhsah (keringanan) sama ada mahu menunaikan solat Jumaat atau tidak pada Hari Raya Eid al-Fitri atau Eid al-Adha. Namun, bagi sesiapa yang tidak solat Jumaat, hendaklah dia menunaikan solat Zuhur.
Di Malaysia, majoriti umat Islam akan menunaikan solat Jumaat pada kedua-dua Hari Raya.
Penerangan selanjutnya di sini dan e-Fatwa
2. ZIARAH DAN KUNJUNG-MENGUNJUNG
Alhamdulillah, telah menjadi budaya dan adat bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia ziarah dan berkunjung ke rumah saudara mara sepanjang Hari Raya.
Sewaktu berada di Mesir, saya merasa pelik dan terkejut dengan budaya masyarakat Arab di sana. Pada Hari Raya, mereka bebondong-bondong mengunjungi pusat membeli-belah dan taman-taman hiburan seperti Wonderland.
Amalan ziarah dan kunjung mengunjung ini memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah. Sebagaimana Firman Allah S.W.T :
Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu ; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat. – Ayat 10, Surah al-Hujurat
Walaupun amalan ini memberikan manfaat yang banyak dan dituntut oleh Islam. Kita perlulah mengikut etika dan adab-adab yang ditetapkan.
- Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas kunjungannya.
- Hendaklah menjaga aurat dan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan terutama yang bukan Mahram.
- Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan.
- Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak yang membuat undangan.
- Hendaklah menolak undangan di mana makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat dan terdapat aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka membesar diri.
- Semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.
- Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.
- Selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadith Nabi S.A.W riwayat dari al Barra’ R.A yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah S.W.T sebelum berpisah”. Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam.
- Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.
- Menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa berada di dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziarah.
3. JAMUAN DAN PEMAKANAN
Sudah pasti apabila berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara, pastinya bermacam-macam hidangan dan juadah disediakan. Namun, adakah anda pasti dan yakin bahawa semua bahan mentah yang disediakan adalah 100% halal?
Antara hidangan yang menjadi menu wajib di Hari Raya adalah bihun. Majoriti bihun yang dijual di pasaran Malaysia adalah buatan Non Muslim dan produk import dari Thailand yang amat diragui status halalnya.
Kini, sudah ada produk bihun yang dikeluarkan oleh pengusaha Muslim dan ianya disahkan halal oleh JAKIM.
No comments:
Post a Comment