Marang : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata amanah yang paling besar adalah melaksanakan perintah Allah SWT di atas muka bumi ini terutamanya kepada pemimpin negara.
Menurutnya, mana-mana pemimpin negara yang tidak melaksanakan perintah Allah SWT itu menjadi pengkhianat yang sangat besar.
“Orang yang jadi pemimpin negara adalah amanah yang paling besar. Sekiranya dia tidak melaksanakan perintah Allah, maka dia menjadi pengkhianat yang sangat besar.” ujarnya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang baru-baru ini.
Malah, katanya orang yang diberi hak serta peluang melantik pemimpin negara tetapi tidak mengikut kehendak Islam juga mendapat kemurkaan Allah.
Menurutnya, tanggungjawab melantik pemimpin negara juga bukan perkara mainan bagi mendapatkan imbuhan wang ringgit.
“Khianat yang paling besar adalah memimpin negara tidak mengikut syariat Allah SWT.
Begitu juga dengan orang yang melantik pemimpin negara yg tidak mengikut cara-cara Islam, maka mendapat murka yang sangat besar dari Allah.
“Kerana itu, adalah amanah yang sangat besar, bukan main lantik pemimpin boleh RM50, boleh RM100. Ini amanah yang sangat besar di hari kiamat,” tegasnya.
Ustaz Abdul Hadi turut mengingatkan dengan sepotong hadis yang bermaksud,“Barang siapa yang melantik kepimpinan bukan kerana kelayakannya, tetapi kerana dunia, maka dia telah khianat terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW”.
Justeru itu, katanya pelaksanaan hukum hudud yang terkandung dalam perundangan Islam wajib ditunaikan oleh pemerintah Islam yang diamanahkan.
No comments:
Post a Comment