Harakahdaily, | 20 Mac 2012 |
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pengumuman veteran Umno Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir untuk keluar parti yang dianggotainya lebih 56 tahun semalam sekali lagi mengesahkan bahawa Umno kini sedang menanti ajal.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, tindakan Abdul Kadir itu juga memberi gambaran jelas ada sesuatu yang tidak kena dengan perjuangan Umno.
"Ini menunjukkan bahawa Umno semakin mereput dan luput serta menanti masa untuk mati. Jika insan seperti Tan Sri Kadir yang telah menjadi ahli Umno sejak merdeka serta pernah menjadi pemimpin tinggi pun sanggup keluar Umno, tiada sebab lagi untuk ahli-ahli Umno yang lain untuk terus bersama dengan Umno.
"Ini menunjukkan bahawa Umno telah jauh menyimpang dari landasan sebenar serta semangat penubuhannya dari awal. Umno sekarang bukan lagi berjuang untuk kepentingan bangsa dan rakyat di negara ini, tetapi untuk kepentingan segelintir pemimpin mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Menurutnya, Abdul Kadir memiliki prinsip yang amat jelas serta kredibiliti yang tinggi kerana sanggup mempertahankan dakwaannya bahawa sememangnya Umno membeli undi masa pilihanraya umum dahulu sehingga akhirnya beliau memilih keluar dari Umno.
"Dakwaan Tan Sri Kadir juga membuktikan bahawa Umno adalah parti yang korup. Pemimpin mereka sanggup membelanjakan berjuta-juta duit rakyat hanya semata-mata mahu mengekalkan survival mereka.
"Mereka tidak kisah jika negara menjadi muflis, rakyat papa kedana, negara menangggung hutang yang berbilion ringgit hanya kerana mereka mahu menang dalam PRU ke 13," jelasnya lagi.
Selain itu, beliau turut menyeru kepada pemimpin-pemin Umno yang mempunyai integriti yang tinggi dan cekal untuk bersama Pakatan Rakyat dam membina sebuah kerajaan yang bersih dan adil.
No comments:
Post a Comment