Harakahdaily, | 04 Apr 2012 |
KUALA LUMPUR, 4 April: Jingga 13 akan membantu segala bentuk mobilisasi sedaya upaya menggerakkan kempen-kempen di media sosial mahupun turun ke lapangan bagi memastikan seluruh kekuatan rakyat untuk Duduk Bantah terhadap penipuan dan mendesak SPR dan kerajaan Malaysia mendengar dan mengambil tindakan yang penuh bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Setiausaha Jingga 13, Vickneswaran Krishnan berkatanya, pihaknya menyambut baik langkah untuk melaksanakan satu lagi perhimpunan pilihanraya bersih dan adil, Bersih 3.0 seperti yang diumumkan dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, hari ini.
Bersih 3.0 mengumumkan perhimpunan itu pada 28 April ini, jam 2.00 petang di Dataran Merdeka dengan tema ‘Duduk Bantah’.
“Kekecewaan rakyat terhadap salah laku dan percubaan terang-terangan oleh SPR bagi mengelirukan daftar pemilih induk wajar dikecam dan diselar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ini kerana ia adalah bukti terang-terangan bahawa terdapat usaha tersusun untuk mengekalkan Umno Barisan Nasional di Putrajaya walaupun jelas gelombang rakyat sudah menolak mereka.
Justeru, katanya Jingga 13 mempersoalkan integriti Pengerusi SPR yang dilihat bersekongkol dengan penipuan tersebut dan usaha untuk membersihkan senarai daftar pemilih induk itu tidak serius dilakukan dan bantahan demi bantahan dibiarkan berlalu tanpa tindakan tegas.
“Jingga 13 juga menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak mengendahkan 8 tuntutan Bersih 2.0 yang dilangsungkan Julai lalu dan hanya membenarkan penggunaan dakwat kekal pada Pilihanraya Umum akan datang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan adakah relevan penggunaan dakwat kekal itu jika daftar pemilih induk meragukan dengan data-data yang penuh pembohongan dan berat sebelah seperti yang didedahkan oleh Dr Ong Kian Meng dari UCSI.
“Maka menjadi kewajiban rakyat Malaysia mendesak SPR dan kerajaan Malaysia untuk mengembalikan hak rakyat mendapatkan satu pilihan raya bersih dan adil seperti yang sepatutnya,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment