Wednesday, March 9, 2011

LOMPAT PARTI TERUS DAPAT BELI TANAH RM1.5 JUTA

بسم الله الرحمن الرحيم

Ahli Parlimen PKR Lompat Parti terus Mampu beli Tanah RM1.5 Juta?

KUALA LUMPUR 8 MAC: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan di Parlimen hari ini beberapa keping cek ditandatangan oleh seorang ahli parlimen bagi membeli tanah bernilai RM1.5 juta.

Beliau mendedahkan perkara tersebut semasa membahaskan ucapan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung petang tadi menjelaskan, cek tersebut ditandatangani oleh seorang ahli parlimen PKR yang baru-baru ini keluar parti tetapi yang menghairankan beliau ialah ahli parlimen tersebut berkemampuan membeli tanah tersebut dalam masa dua bulan sahaja selepas keluar parti.

Beliau menegaskan parti PKR bukanlah tempat untuk menjadi kaya ataupun membuat duit seperti tanggapan segelintir yang keluar parti, maka ahli yang tidak berpuas hati bertindak keluar parti dan mula melontarkan tohmahan yang tidak benar terhadap parti.

"Yang tak dicerita apa dia? Bila berada dalam barisan pembangkang, khususnya PKR ini, bukannya lesen nak jadi kaya. Kalau hidup berpendapatan RM10, jangan berbelanja RM100. Ketidakupayaan untuk menambah RM90 kadang-kadang menyebabkan mereka tewas dengan ujian," kata beliau.

Beliau menjelaskan, ada ahli yang mula membuat pelbagai dakwaan liar terhadap parti selepas keluar parti, bahawa kononnya parti ini telah meninggalkan perjuangan membela rakyat, parti dipimpin pengkhianat, seorang ketua yang mahu menjadi Perdana menteri walau apa cara sekalipun dan bermacam lagi semata-mata sebagai alasan keluar parti.

"Pada saya ini ada salinan cek yang ditandatangani oleh satu daripada enam rakan saya yang keluar parti. Satu cek, RM700 ribu bertarikh 12 Januari, 2011. Satu cek lagi, 15hb Mac, 'post dated'. Tujuannya apa? Bayar harga tanah, nilainya RM1.5 juta," ujar beliau.

Saifuddin kemudiannya mempersoalkan punca pendapatan tersebut sehingga dapat memberi kemampuan luar biasa kepada ahli parlimen tersebut membuat pembelian semewah itu.

"Duduk dalam parti, (dia) tanya tak dapat itu ini. Keluar sahaja, dapat bayar tanah RM1.5juta. Dari mana dapatnya duit ini? Itu sahaja persoalannya," tegas beliau.

Katanya lagi, beliau ingin tahu samada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulakan siasatan atau tidak terhadap ahli parlimen tersebut selepas beliau mendedahkan perkara tersebut. - SH


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

Anda mungkin juga meminati:

No comments:

Post a Comment